Usahawan, Hartawan dan Kasih Sayang ::
Usahawan adalah bidang yang dimuliakan Islam. Nabi SAW bersabda, "9/10 rezeki dari daripada perniagaan." Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda, "Sebaik-baik rezeki yang dimakan oleh seseorang ialah dari apa yang diusahakan oleh tangannya sendiri."
Usahawan yang tidak lalai dari mengingati Allah walaupun penuh kesibukan adalah orang yang terselamat daripada tipu daya syaitan. Sesungguhnya ramai manusia yang sibuk dengan pekerjaan duniawi lantas mereka lupa kepada Allah.
Firman Allah, "Syaitan telah menguasai ke atas diri mereka, sehingga ia melupakan mereka dari mengingati Allah." (Al-Mujadalah : 19)
Syeikh Ibrahim Adham, seorang Sufi yang terkenal pernah berkata, "Satu saat jujur dalam perniagaan lebih ku kasih dari ibadah sepanjang malam".
Pernah beliau bertemu dengan sahabatnya yang berada di satu tempat dengan hanya menumpukan ibadah dan mendapat rezeki dari pemberian orang. Lalu Syeikh bertanya kenapa ia berkeadaan begitu, jawab sahabatnya, "Saya pernah berada di padang pasir, saya melihat seekor burung yang patah sayap tetapi ia hidup dan sihat. Saya memerhati bagaimana ia mendapat rezeki, saya melihat seekor burung terbang ke arahnya dan memberi ia makan, lalu aku berkata dalam hatiku, 'Demi Allah , seekor burung pun dijamin rezekinya oleh Allah SWT, apatah lagi manusia,' lalu aku duduk begini tanpa menghiraukan rezekiku". Lalu berkata Syeikh, "Sayang sekali, kenapa kamu menjadi burung yang patah sayap? Kenapa kamu tidak mahu menjadi burung yang terbang mencari dan memberi rezeki". Lalu sahabatnya pun bangun dan mencium dahinya, "Engkaulah Guruku, demi Allah aku akan meninggalkan tempat ini untuk menjadi burung yang terbang."
Alangkah mulianya menjadi usahawan jika ia menjadikan niatnya untuk agama, dengan mengagihkan kekayaannya untuk membantu manusia, menyebarkan kasih sayang melalui hartanya, menyejukkan hati manusia dengan hartanya, membantu kaum yang lemah, membantu anak-anak yatim, membantu saudara yang memerlukan, membantu menguatkan agamanya, membantu menyebarkan agamanya, ia bagaikan bank bagi manusia. Ia takut pada Allah kerana ia faham harta bukan miliknya tetapi milik Allah untuk mengujinya.
Wahai para Usahawan,
Sayangilah dirimu, sayangilah kehidupanmu, sayangilah pekerjaanmu. Lihatlah sejarah Islam, demi Allah, Islam berkembang di seluruh pelusuk Asia ini dari tangan para saudagar. Mereka menggunakan segala kepandaian dan kekayaan mereka untuk menyebarkan agamanya. Mereka dihormati bukan kerana kekayaan tetapi kerana kemuliaan yang mereka perolehi atas usaha membawa manusia kepada Islam. Mereka memancarkan wajah kasih sayang. Manusia tertambat hati bila melihat mereka, kerana kerendahan dan kemesraan yang ditunjukkan tanpa sifat sombong dan angkuh. Mereka memiliki jiwa yang mencintai Tuhan dan menjadikan nafsu, hartanya di bawah kaki bukannya di hati.
Wahai para usahawan, wahai para Hartawan,
Allah memerintah kamu mengeluarkan zakat, hakikatnya bukan sahaja Allah menyuruh kamu mengeluarkan harta dari tanganmu tetapi juga mengeluarkan kekotoran dari hatimu iaitu mencintai harta dan sifat bakhil. Kerana ianya juga adalah najis pada pandangan Allah.
Bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika pada pakaian atau tubuh badan kamu terkena najis? Begitu juga, bagaimana kamu mahu menyembah Tuhan jika dalam batinmu adanya najis sedangkan ia tempat pandangan Tuhan.
Sayangnya Tuhan pada hamba-Nya. Ia mewajibkan kamu membayar zakat, memperbanyakkan sedekah serta infaq supaya hatimu bersih dari kekotoran dunia. Dunia adalah bangkai dalam pandangan Nabi SAW. Sesiapa yang mencintainya bagaikan anjing yang mencintai bangkai.
Allah memuliakan kamu di akhirat sebagai usahawan yang bersyukur. Jagalah dirimu daripada kesombongan, ia pembunuh kasih sayang. Jika kamu gagal, pandanglah hikmahnya dan jangan berputus asa. Jika kamu jatuh, walau beratus atau beribu kali, hendaklah kamu bangun dan terus bangun. Anak-anak yang kecil tidak akan berjaya berjalan jika ia takut untuk jatuh. Allah akan bersama dengan orang yang sabar, orang bertawakal dan orang yang gigih berusaha.
Jika Tuhan memberi kamu kejayaan dan limpahan keuntungan, ingatlah bahawa kejayaan itu dari Allah SWT. Jangan jadi seperti Qarun yang mengatakan kekayaan itu dari kebijaksanaannya semata-mata, lalu Allah hancurkan ia bersama dengan hartanya. Bersyukurlah kamu dengan cara menyebarkan kekayaan kamu agar manusia memperolehi manfaat dari kekayaanmu. Sebarkan kasih sayang dengan melebarkan empayar perniagaanmu agar dapat memberikan manusia peluang pekerjaan. Mereka dapat memberi makan minum, pendidikan kepada anak-anaknya serta keluarganya melalui rezeki pekerjaan itu.
Sebarkan dan bantulah mereka, bukan sahaja di kalangan saudara se-Islammu tetapi sebarkan ia kepada semua agama dan bangsa di seluruh pelusuk dunia. Janganlah kamu berniaga atau berpersatuan dengan niat untuk menjatuhkan kaum atau bangsa tertentu, ia adalah assobiah. Jadilah usahawan yang niatnya untuk ibadah, jadikan ia sebagai ibadah dakwah sebagaimana saudagar Islam dahulu.
Kejayaan dan kekayaan kamu membawa manusia melihat keindahan dan kehebatan Islam. Hati mereka tersentuh dan tertarik dengan Islam. Mereka menghulurkan tangan kepadamu untuk menyerah diri kepada Islam. Mereka melihat keimanan, melihat kasih sayang, melihat kejujuran, melihat kamu tidak tamak mengaut keuntungan untuk dirimu semata-mata. Mereka melihat kamu mengamalkan konsep mencapai kejayaan bersama, tiada yang rugi dan hancur diatas kejayaanmu, tiada yang dikorbankan malah kejayaanmu menjadi obor kejayaan mereka.
Wahai para usahawan dan hartawan, jika kamu berjaya, pandanglah anak bangsamu, saudara se-Islammu dengan pandangan kasih sayang. Bantulah mereka dengan menghimpunkan anak-anak muda untuk diberikan kesedaran, semangat dan curahkan ilmumu kepada mereka. Bantulah mereka menjadi orang yang berjaya agar Islam dipenuhi muslim yang hebat dan berjaya.
Lahirkan seramai mungkin usahawan yang berjaya agar kekayaan dipegang oleh hamba yang soleh, yang memanfaatkan kekayaan itu untuk kebaikan. Bumi akan tersenyum indah, kekayaannya berada ditangan orang-orang yang soleh.
Janganlah kekayaan kamu hanya berlegar di kalangan kamu, janganlah kamu sombong di atas muka bumi ini. Allah membenci orang yang sombong. Banyakkan menangis di malam hari, hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, hadapkan dirimu dengan bayangan ketakutan Abdul Rahman bin Auf, Saidina Osman bin Affan, Saidina Abu Bakar radiaLlahu anhum. Mereka adalah hartawan yang menjadi kebanggaan Allah, para malaikat dan Nabi, kebanggaan langit dan bumi. Sejarah telah mengukir nama mereka sebagai usahawan dan hartawan yang berjaya menyebarkan keimanan dan kasih sayang.
No comments:
Post a Comment